JIKA sebelum ini, ramai pelancong tempatan suka meneroka pulau-pulau yang terkenal di serata Malaysia, apa kata kali ini, kita berubah angin.
Sebenarnya terdapat banyak pulau yang kurang dikenali di Semenanjung Malaysia dan kepulauan Borneo, namun memiliki pemandangan yang cukup menakjubkan.

Bukan itu sahaja, keindahan flora dan fauna juga tidak kurang hebatnya. Pepohon yang jarang dilihat dan bunga-bunga liar membuatkan lensa kamera telefon pintar tidak putus-putus merakam gambar.

Berikut SinarPlus senaraikan cadangan pulau-pulau yang jarang dikunjungi ramai, tetapi berbaloi untuk dilawati:

Pulau Songsong, Yan, Kedah

Pulau Sonsong adalah salah sebuah pulau terletak di pesisiran pantai Pulau Songsong yang tidak berpenduduk. Tiada penginapan yang disediakan untuk pelancong bercuti. Bagaimanapun, pelancong masih boleh berkunjung untuk perjalan sehari.

Jika ingin bermalam, perlu membawa kelengkapan sendiri seperti khemah, makanan dan minuman. Kepada yang pernah menjejakkan kaki ke sana, mereka mengatakan bahawa pulau berkenaan masih terpelihara tanpa sebarang pembangunan.

Justeru, peluang untuk ‘bermesra’ dengan ciptaan alam semula jadi tanpa batasan seperti pokok-pokok hutan, flora dan fauna dan terumbu karang di dalam dasar laut terbuka luas.

Sebagai tambah nilai, terdapat satu kawasan berpasir bersih yang agak luas dan memang sesuai untuk bermandi-manda.
Pelancong yang ingin ke pulau itu perlu menempah lebih awal kerana perjalanan ke pulau bergantung pada cuaca dan keadaan air laut.

Kos pengangkutan bot dan penginapan satu malam (seorang): RM75 ke RM99

Pulau Rawa, Besut, Terengganu

Pulau Rawa bukan sahaja terdapat di Mersing Johor, tetapi juga di Besut, Terengganu. Sama seperti di Johor, kecantikan Pulau Rawa di sana cukup mempesonakan.

Tarikan lokasi berkenaan terarah kepada aktiviti menyelam. Air laut yang berwarna biru firus membolehkan pengunjung melihat secara jelas keindahan terumbu-terumbu karang di dasar laut.

Air di lautan itu dikatakan memang tidak tercemar langsung dan mempunyai kualiti air yang paling jernih. Jangan tidak percaya, setiap pengunjung wajib membawa pulang sampah masing-masing. Perjalanan hanya memakan masa antara 30 ke 40 minit dari jeti Besut.

Kos pengangkutan bot dan penginapan satu malam (seorang): RM65 hingga RM360

Pulau Gemia, Marang, Terengganu.

Antara pilihan destinasi menarik untuk diterokai. Mungkin nama Pulau Gemia tidak segah seperti pulau-pulau lain seperti Pulau Perhentian atau Pulau Redang, namun kembara pengunjung ke sini akan membawa pengalaman yang cukup berharga.

Kaya dengan terumbu karang dan memiliki pelbagai khazanah hidupan laut, pulau berkenaan sangat sesuai untuk aktiviti menyelam. Terdapat juga pelbagai perkara lain yang boleh dilakukan, antaranya berkayak dan merentas hutan.

Perjalanan ke Pulau Gemia mengambil masa 15 minit sahaja dengan menaiki bot dari jeti Marang. Berdasarkan sejarah, nama pulau itu diperoleh daripada pokok kundang atau dikenali sebagai gemia oleh masyarakat Terengganu.

Iklan

Kos pengangkutan bot dan penginapan satu malam (seorang): RM80 ke RM450

Pulau Mataking, Semporna, Sabah

Pulau berkenaan terdiri daripada dua buah pulau iaitu Pulau Mataking Besar dan Pulau Mataking Kecil yang terletak berhampiran dengan sempadan Filipina. Terkenal sebagai salah satu pulau dalam dunia yang terdapat pejabat pos bawah air yang diperbuat daripada kapal kargo yang ditenggelamkan.

Untuk ke sana, pengunjung perlu mengambil bot dari pekan Semporna dan hanya akan mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke pulau berkenaan. Oleh kerana kedua-dua buah pulau tersebut terletak saling berdekatan, pengunjung hanya perlu berjalan kaki sahaja menuju ke Mataking Kecil sekiranya air surut.

Jangan khuatir, segala kemudahan di Pulau Mataking Besar lengkap termasuk pilihan tempat penginapan.

Iklan

Kos pengangkutan bot dan penginapan satu malam (seorang): RM95 ke RM490

Pulau Tenggol, Kuala Dungun, Terengganu

Salah satu pulau sangat cantik yang hanya terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari jeti Kuala Dungun. Sekiranya ke sana, jangan ketinggalan untuk singgah sebentar di Jambatan Baru Dungun untuk melihat keindahan muara sungai Dungun.

Walaupun pulaunya hanya sepanjang 3 kilometer sahaja, Pulau Tenggol sering menjadi destinasi untuk mereka yang ‘gila’ menyelam.
Aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah seperti merentas hutan dan mendaki bukit serta menyelam di lokasi setanding kepulauan di luar negara.

Berdasarkan sejarah, dahulunya Pulau Tenggol merupakan penempatan sementara orang Vietnam yang terperangkap selepas Perang Vietnam.

Kos pengangkutan bot dan penginapan satu malam (seorang): RM99 ke RM535