KETIKA umat Islam menjamu selera menikmati juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan, suasana yang berbeza dilalui oleh pasukan keselamatan yang bertugas bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

Meskipun berpuasa, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Covid-19 di sekatan jalan raya dilihat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Mereka juga dilihat terpaksa berbuka puasa di bahu jalan demi menjaga keselamatan orng awam dan menjalankan tugas yang diamanahkan.

Jelas terpancar semangat pada muka anggota menjalankan tanggungjawab walaupun jauh dari sudut hati mereka sudah tentu mahu berbuka puasa bersama keluarga.

Covid-19 : Petugas keselamatan berbuka di bahu jalan

Malah, hasil tinjauan yang dilaporkan portal tempatan, di sekatan jalan raya sekitar ibu negara mendapati rezeki anggota yang berkawal melimpah ruah apabila ramai pihak menghulurkan sumbangan makanan serta buah-buahan untuk anggota bertugas.

Iklan

Rata-rata anggota yang ditemui juga sudah lama tidak bertemu keluarga dan itu pengorbanan yang perlu dihayati oleh masyarakat untuk mematuhi perintah PKP serta terus kekal di rumah.

Tinjauan juga mendapati kenderaan tidak banyak ketika waktu berbuka puasa dan anggota dilihat masih berkawal pada waktu itu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 7,000 anggota ATM dan 42,000 anggota polis terbabit penugasan sekatan jalan raya sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Kepada orang ramai, Sinar Plus harap agar semua orang kekal patuh dengan garis panduan yang telah ditetapkan supaya rantaian jangkitan wabak pembunuh ini akan berakhir. #PastiAdaSinar