“ANDA perasan? Lembah Klang sesak semula. Sehingga mengganggu petugas kesihatan untuk pergi ke kerja. Kebanyakan kawasan ini adalah zon merah!

Daerah lain di bandar-bandar besar juga menunjukkan peningkatan ketara jumlah kenderaan. Seolah-olah sebilangan rakyat ini tidak lagi peduli tentang undang-undang kerajaan.

Perkara ini telah mengundang kemarahan majoriti rakyat Malaysia yang telah berusaha mencegah dan memutuskan rantaian penyakit Covid-19.

Jika perkara ini masih berlanjutan, mungkin pengorbanan kita akan sia-sia.”

Begitu perkongsian ditulis di dinding Facebook Public Health Malaysia, semalam.

Daripada isu balik kampung, pembelian panik, berkumpul secara berkumpulan di luar rumah, berani menipu pihak berkuasa tanpa berasa malu dan 1,001 satu alasan diberikan orang kita yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, polis menahan 1,374 individu kerana ingkar PKP.

Menurutnya, jumlah itu merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000, manakala seramai 418 individu direman dan 25 individu dijamin polis.

Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga kelmarin adalah seramai 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036.

“Daripada jumlah itu juga seramai 427 individu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya semalam.

Pernahkah anda terfikir mengapa sebilangan orang begitu degil? Apa yang menyebabkan mereka bersikap sedemikian?

Enggan ubah fikiran

Menurut perkongsian laman web psikologi antarabangsa, www.psychmechanics.com, kedegilan adalah sifat keperibadian yang mana bermaksud seseorang enggan mengubah pendapatnya tentang sesuatu.

Hanan Parvez (M.B.A., M.A. Psychology) yang telah menulis lebih 300 artikel di blog dengan lebih 3 juta tontonan dan 100,000 pelawat bulanan itu menyifatkan orang yang keras kepala mempunyai kepatuhan yang tegas terhadap idea dan pendapat mereka sendiri.

Mengapa orang degil? Menurut Hanan, pun begitu, seseorang yang degil tidaklah keras kepala sepanjang masa.

“Mungkin ada beberapa peristiwa atau interaksi tertentu yang mencetuskan kedegilan mereka.

“Untuk memahami mengapa sebilangan orang degil, pertama, kita harus mengingatkan diri kita akan kenyataan bahawa kebanyakan tingkah laku manusia adalah mahu mencari ganjaran atau menghindarkan diri daripada kesakitan atau kesusahan,” katanya.

Menurutnya, orang yang keras biasanya kerana tiga alasan yang sama sekali berbeza:

1) ‘Ganjaran’ setelah berdegil

Kadang-kadang seseorang mungkin degil hanya kerana mereka tahu perbuatan itu membantu mereka mendapatkan apa yang dimahukan.

Dalam kes ini, seseorang boleh menggunakan sikap keras kepala mereka untuk mengelakkan tentangan.

Sebagai contoh, seorang anak mungkin termotivasi untuk menunjukkan sikap degil ketika dia mengetahui bahawa menjadi keras kepala adalah cara yang baik untuk membuat orang tuanya mendengar permintaannya.

Dia menggunakan kedegilan sebagai alat untuk mendapatkan apa yang dimahukan. Kanak-kanak yang manja biasanya berkelakuan seperti ini.

Sekiranya seorang tidak mendapat apa yang dimahukan dengan bertanya atau dengan cara baik, maka dia cenderung untuk mengambil sikap keras kepala, kecuali ibu bapanya tidak membenarkan tingkah laku keras kepala.

Sekiranya itu berfungsi untuknya, maka dia akan meneruskan tingkah laku tersebut agar terus mendapat apa dimahukan.

Iklan

Sebilangannya memberontak. Dalam kes ini, degil adalah mekanisme pertahanan yang digunakan oleh seseorang untuk mengelakkan kesakitan atau kesusahan yang dikawal oleh orang lain.

2) Kedegilan dan identiti

Orang yang keras kepala sangat terikat pada kepercayaan, pendapat, idea dan citarasa mereka. Mereka tidak boleh bersabar dengan orang yang tidak setuju dengan mereka. Sangkaan mereka jika tidak setuju dengan mereka, bermaksud tidak bersetuju dengan siapa mereka.

Mereka menjadi keras kepala hingga tidak menerima pendapat orang lain kerana merasa terancam oleh orang yang tidak setuju dengan mereka.

Sikap keras kepala seperti ini boleh menjejaskan hubungan mereka dengan orang lain.

Tetapi ada yang melangkah lebih jauh dengan menghindari orang yang tidak setuju dengan mereka agar mereka dapat hidup di dunia dengan idea dan pendapat mereka sendiri.

3) Perasaan permusuhan yang tersembunyi

Sebilangan orang bertindak keras kepala hanya untuk mengganggu orang lain. Hal itu mungkin kerana mereka pernah disakiti pada masa lalu dan sekarang mereka kembali dengan sifat pasif-agresif.

Iklan

Menurut Hanan, kedegilan membolehkan mereka melepaskan perasaan kebencian dan permusuhan yang tersembunyi terhadap orang lain.

Mengendalikan orang yang degil

Orang yang keras kepala sukar dikendalikan kerana cenderung berfikiran tertutup dan tidak fleksibel.

Bagaimanapun, jika anda cuba menggali lebih mendalam dan mengetahui sebab sebenar di sebalik kedegilan mereka, maka urusan dengan mereka akan menjadi lebih mudah.

Anda boleh terus bertanya kepada mereka mengapa mereka begitu keras kepala? Itu juga dapat memaksa mereka untuk menjadi sedar diri dan memikirkan semula tingkah laku mereka.

Perlu diingat bahawa orang yang keras kepala benci dikawal. Oleh itu, anda tidak boleh membuat mereka merasa bahawa anda mengawalnya.

Sekiranya tujuan anda adalah untuk mengubah tingkah laku mereka, maka perlu memenuhi keperluan mereka yang lebih mendalam tanpa perlu dikawal, kongsi Hanan.

Justeru, apa pendapat anda tentang golongan yang masih berdegil terhadap PKP ini? -AG