TIDAK  mahu menjadikan kekangan pandemik Covid-19 sebagai satu alasan untuk hanya berpeluk tubuh di rumah, pelakon Hafreez Adam sentiasa mencari aktiviti mengisi masa lapang, sekali gus menambah pendapatan untuk kelangsungan hidup.

Apatah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak penggambaran terpaksa dihentikan menyebabkan ramai penggiat seni kehilangan punca pendapatan.

Bagi pemilik nama penuh Hafreez Adam Aizat Zahalan, 31, dia sebolehnya tidak mahu hanya bergantung kepada satu kemahiran sahaja untuk mencari pen­dapatan.

“Ketika PKP pertama saya berniaga Char Kuetiau yang diusahakan bersama keluarga dan mendapat sambutan begitu baik terutama menerusi khidmat penghantaran.

“Manakala untuk PKP kedua pula, saya menggunakan kembali kemahiran melukis yang ada untuk tambah pendapatan dan tidak sangka semakin ramai berminat menempah sepanjang PKP 3.0 ini.

“Perkara itu membuatkan saya sedar bahawa selain lakonan, saya memiliki kemahiran lain yang boleh digunakan untuk tambah pendapatan dan tidak boleh bergantung kepada satu-satu kemahiran sahaja,” ujarnya.

Menganggap setiap apa yang berlaku sebagai satu hikmah, pelakon yang ditemui ketika sesi sidang media secara maya drama Derita Untuk Bahagia itu berkata, baru sahaja menolak satu tawaran lakonan kerana tidak mahu mementingkan diri sendiri.

“Dalam situasi pandemik yang sukar dijangka ini, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri, sebaliknya saling menjaga mereka yang di sekeliling.

“Saya menolak tawaran sebuah telefilem yang sangat menarik di mana naskhah itu telah lama saya tunggu kerana ibu saya yang tinggal bersama ketika itu terlibat sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Iklan

“Walaupun ibu dan saya negatif ketika membuat ujian saringan, saya tetap mahu menjalani kuarantin di rumah dan tarik diri daripada projek tersebut kerana tidak mahu mendatangkan risiko pada orang lain,” akuinya.

Gandingan pertama Hafreez dan Azar Azmi dalam drama Derita Untuk Bahagia.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Hafreez teruja apabila drama lakonannya, Derita Untuk Bahagia kini menemui penonton di Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 petang bermula 7 Jun lalu.

Menurut Hafreez, drama tersebut sangat mencabar buat dirinya, bukan sahaja dari segi karakter, tetapi juga kekangan yang dilalui ketika penggambaran apabila beberapa kali terpaksa ditangguhkan kerana PKP dan ada pelakon terlibat sebagai kontak rapat.

Iklan

“Beberapa kali kami terpaksa berehat daripada penggambaran semenjak September tahun lalu sehinggakan adakala sukar nak kembali dapatkan mood karakter selepas penggambaran tertangguh.

“Bagaimanapun saya bertuah kerana bekerja dengan orang-orang profesional terutamanya pelakon senior yang saling membantu untuk memastikan kami dapat memberikan yang terbaik.

“Satu kelainan daripada saya menerusi watak Raif kerana karakter ini banyak bermain dengan konflik dalaman, terutamanya melibatkan babak emosi yang mungkin penonton jarang tengok sebelum ini,” katanya yang kali pertama bergandingan dengan Azar Azmi.