MELIHAT wajah comel Muizadamshah Mahlil, pasti tiada siapa pun menyangka si kecil berusia lima tahun itu pernah berdepan detik-detik menakutkan.

Sejak disahkan menghidap leukemia limfoblastik akut dua tahun lalu, anak bongsu daripada empat beradik itu mengalami pelbagai komplikasi kesihatan yang cukup membimbangkan.

Antaranya badan ‘melecur’ teruk akibat kesan rawatan kemoterapi, perut membusung disebabkan jangkitan dalam usus, luka pada hati dan paling menyentap jiwa, jantung terhenti selama 30 minit.

Ketika kunjungan SinarPlus di rumahnya baru-baru ini, ibunya, Nor Affni Mohd Razol memberitahu, jika melihat keadaan Muizadamshah atau manja dipanggil Baby dengan wayar penuh berselirat pada tubuhnya, mungkin ramai yang mengandaikannya sudah tiada lagi.

Muizadamshah

“Kejadian itu berlaku sehari selepas Baby menjalani rawatan terakhir kemoterapi berdos tinggi. Bila balik rumah, tak sampai 24 jam dia dikejarkan ke hospital disebabkan masalah cirit-birit yang teruk.

“Masa itu, bacaan darah Baby sudah tak normal. Nak dijadikan cerita, pada hari ketiga ditahan wad, jantungnya secara tiba-tiba terhenti,” ceritanya yang menetap di rumah sewa di Sungai Buloh, Selangor.

 

Menurut wanita berusia 35 tahun itu, sebelum kejadian anaknya ada meminta untuk berbaring bersama di atas katil selepas mengadu mengantuk.

“Saya enggan menuruti permintaan itu kerana doktor sedang melawat pesakit. Jadi, dia merajuk dan cakap tidak mahu kawan ibu. Saya kemudian dukung dan masih rasa lagi Baby peluk leher.

Muizadamshah

“Masa nak letak ke katil, saya tengok dirinya sudah terkulai dan tidak menyahut setiap kali nama dipanggil. Saya panik dan menjerit meminta bantuan doktor,” imbaunya sambil berlinangan air mata.

Keadaan wad menjadi kecoh apabila para petugas berhempas-pulas memberikan bantuan kecemasan selama 30 minit, namun nadi si kecil itu masih gagal dikesan.

Muizadamshah

Melihat dari kejauhan si anak tidak memberi respons, ditambah doktor memaklumkan sudah tiada harapan lagi buat Baby menjadikan Nor Affni terkelu tanpa sebarang kata.

Baca juga Selain sindrom down dan kanser, si kecil ini menderita buah pinggang dijangkiti kuman hingga bernanah

“Dunia saya gelap-gelita dan tidak tahu nak buat apa dah. Bila doktor minta saya duduk dekat kepala anak dan beri semangat kepada Baby untuk terus kuat, saya akur.

“Saya pegang tangannya dan minta dia kuat lawan penyakit. Kalaulah masa itu dia tak kuat, saya reda jika sudah sampai masanya nak pergi meninggalkan kami,” katanya dengan suara teresak-esak.

Muizadamshah

Bagaikan satu keajaiban daripada YANG MAHA ESA, selang beberapa minit denyutan nadi dapat dikesan semula meskipun ia tersangatlah lemah.

Tanpa menunggu masa yang lama, Baby terus dibawa ke unit rawatan rapi neonatal untuk rawatan lanjut.

Doktor juga meminta ibu empat anak itu bersedia untuk berdepan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Muizadamshah

Ini kerana menurut doktor pakar ketika itu, tiada lagi kes pesakit leukemia khususnya kanak-kanak terselamat daripada serangan sedemikian.

Tempoh 21 hari Baby ditidurkan merupakan saat paling menggerunkan kerana jantung masih lemah dan organ dalaman lain tidak lagi berfungsi secara normal.

Muizadamshah

Rawatan berterusan

Berkat doa tak putus-putus daripada semua orang dan kesungguhan pihak hospital memberikan rawatan terbaik, keadaan Baby dilaporkan semakin stabil.

Iklan

Kongsi Nor Affni lagi, sepatutnya Baby perlu menjalani dua lagi rawatan kemoterapi dan radioterapi. Namun akui suri rumah itu, beliau tidak sanggup melihat permatanya itu terus terseksa.

Muizadamshah

“Risiko jantung terhenti sekali lagi boleh berulang. Suami pada awalnya mahu meneruskan rawatan tersebut, namun saya berkeras kerana tidak mahu anak menderita.

“Memang doktor marah sebab hentikan rawatan tapi saya sanggup melihat Baby meninggal di depan mata kerana sakitnya, daripada melihat dirinya sengsara akibat kesan ubat tersebut,” ungkapnya dengan nada lemah.

Muizadamshah

Justeru, selagi nyawa dikandung badan, anak jati kelahiran Terengganu itu berazam untuk menjaga putera bongsunya dengan penuh kasih sayang.

“Sekarang ini, dia hanya bergantung dengan ubat kemoterapi jenis tablet sahaja selain ujian darah di Hospital Tuanku Azizah Kuala Lumpur setiap dua minggu atau secara bulanan.

Baca juga Diuji pasangan kembar derita leukemia, emak ayah sebak anak rindu nak ke sekolah

“Kalau tanya soal kos rawatan, ulang-alik ke hospital, keperluan lampin pakai buang dan susu khas, semua itu agak membebankan kerana tiga lagi anak masih lagi sekolah,” kata suri hati kepada Mahlil Mahmud, 39, itu.

Iklan

Muizadamshah

Bergantung pendapatan suami sebagai operator kren kontrak yang berpangkalan di Pahang membuatkan Nor Affni kadang-kadang buntu memikirkan semua perbelanjaan yang perlu ditanggung.

“Sekarang ini, Baby beritahu yang dia teringin sangat nak naik kapal terbang. Jadi kami sedang berusaha mencari jalan untuk merealisasikan impiannya.

“Bukan apa, saya perlu berjimat-cermat kerana masih banyak komitmen lain yang perlu diberikan keutamaan khususnya keperluan perubatannya,” ujarnya berterus terang.

Muizadamshah

Kepada orang ramai yang ingin membantu menunaikan impian Baby, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 1630 9114 7907 atas nama Mahlil Bin Mahmud.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!