“Kita kena bersatu hati, jangan panik dan melihat semua dengan positif.”

Itu antara pesanan yang dititipkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi tetamu dalam siaran langsung Instagram Story bersama Neelofa pagi tadi.

Menerusi program santai #BerseoranganBersama kelolaan Neelofa, usahawan dan selebriti popular tanah air itu melakar sejarah tersendiri apabila Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 tersebut bersetuju untuk menjadi tetamunya.

Direncanakan bermula pada pukul 11 pagi, temu bual berkenaan diawalkan setengah jam atas faktor tertentu.

Bersiaran selama hampir 30 minit, rata-rata soalan yang diajukan Neelofa kepada Tun diambil daripada soalan-soalan yang dikemukan oleh peminatnya di laman Instagram.

NEELOFA DAN TUN MAHATHIR
Live yang dibuat Neelofa bersama Tun Mahathir mendapat tontonan 85,000 orang.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memerangi wabak pandemik koronavirus (Covid-19), Tun Mahathir turut memberi nasihat kepada peniaga atau usahawan kecil dalam menghadapi cabaran masa kini dan juga apa yang Malaysia perlu lakukan dalam mengekang penularan wabak berkenaan.

Tun Mahathir turut memberikan nasihat supaya rakyat Malaysia sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

“Kita negara yang sangat bertuah, kita kurang kena bencana alam sebab kita di kelilingi oleh Indonesia dan Filipina yang sentiasa menjadi benteng terhadap musibah.

Iklan

“Jadi, apabila kita diserang COVID-19, kita kena bersatu hati. Sentiasa mendengar arahan pihak berwajib dan jaga disiplin,” ujarnya.

Sementara itu, Tun Mahathir yang mesra dengan panggilan Che Det itu turut memberitahu mengapa beliau gemar membawa buku nota kecil bersamanya.

“Kita mungkin boleh terlupa apa yang ada di fikiran. Tetapi, apabila kita menulis, kita akan sentiasa ingat tentang perkara-perkara tertentu,” katanya yang turut mengikut nasihat arwah ibunya “don’t overstay your welcome” dan menjadi salah satu sebab beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 pada Oktober 2003.

Iklan

Untuk rekod, sesi bual bicara antara Neelofa dan Tun Mahathir menerima jumlah tontonan seramai 85,000 orang.

Terdahulu, #BerseoranganBersama turut menampilkan selebriti gred A dalam dan luar negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Rossa dan Nora Danish.