PENYANYI Shahir Zawawi memberitahu selamat menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan nanah daripada sebahagian muka kelmarin.

Menurut juara Akademi Fantasia musim kelapan itu, doktor juga turut melakukan prosedur untuk menyucikan bahagian yang terkena jangkitan.

Bagaimanapun Shahir, 32, tidak berkongsi di mana lokasi dia mendapatkan rawatan dan sakit sebenar yang dihadapinya.

“Setakat ini masih ada saki baki (nanah) dan saya masih dalam rawatan. Maaf itu sahaja yang mampu saya kongsikan buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beberapa hari lalu, tular video Shahir merakamkan kekesalannya kerana dihalang daripada berjumpa pegawai perubatan di salah sebuah hospital di Shah Alam.

Jelas pelatun Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, dia mahu mendapatkan rawatan susulan berikutan mengalami gejala demam berlarutan selama tiga hari.

Bagaimanapun Shahir diminta untuk pulang dan hadir ke klinik kesihatan keesokan harinya serta video yang dimuat naik Shahir itu tular dan mengundang pelbagai persepsi ramai.

“Niat saya kongsikan gambar itu sebenarnya untuk memberitahu saya bukan demam semata-mata untuk keluar pukul 1.30 pagi mendapatkan rawatan.

Iklan

“Kerana ada yang menyangka saya demam biasa. Cuma dalam sakit tak salah kita lemparkan senyuman,” ujarnya.

Sebelum itu, Shahir ada memuat naik gambar terbaharunya yang memperlihatkan bengkak dan hanya mampu tersenyum senget.

Iklan

Bagaimanapun gambar itu disalahertikan oleh netizen yang menuduhnya tersenyum sinis atau memerli.

Bagi mengelakkan untuk timbul salah faham, Shahir akhirnya memadam gambar tersebut.