BERIKUTAN perkembangan semasa pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda reda di seluruh dunia, tahun ini sekali lagi menyaksikan tiada pergerakan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci.

Bagaimanapun RTM menerusi program Salam Baitullah, terus bersiaran untuk musim baharu yang juga merupakan edisi ke-13 penerbitannya.

Edisi terbaharu itu menampilkan Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Fakhrul Radhi (UNIC) sebagai hos.

Mengangkat tema Suatu Kerinduan, Salam Baitullah bakal mengimbau kenangan mengerjakan ibadah haji kepada umat Islam di rantau Asia Tenggara, selain proses mengerjakan ibadah haji dalam suasana norma baharu.

Program 16 episod itu akan disiarkan mulai 6 Julai hingga 20 Julai depan, jam 9 malam di TV1 dan Saluran Berita RTM (myFreeview 123), serta menerusi Aplikasi RTM Klik.

Sementara itu siaran langsung Salam Baitullah Edisi Khas (Wukuf) pula disiarkan pada 19 Julai, jam 6 petang dan 9 malam.

Salam Baitullah 2021 bakal membariskan panel pendakwah terkemuka tanah air untuk memperincikan pengajaran haji berdasarkan situasi semasa.

Iklan

Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Datuk Dr. Luqman Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan), Datuk Haji Anhar Haji Opir (Timbalan Mufti Selangor) dan ramai lagi.

Selain itu, segmen Interaktif Selebriti yang berkonsepkan bual santai bersama artis, tokoh sukan, selebriti media sosial pula akan berkongsi tentang pengalaman mereka menunaikan umrah dan haji di Tanah Suci.

Iklan

Tetamu yang terlibat ialah Azizul Hasni Awang, Datuk Chef Ismail, Heliza Helmi, Faizal Tahir, Wany Hasrita, Lah Ahmad, Azmi Caliph Buskers dan lain-lain.

Menariknya, penonton juga berpeluang untuk menyertai kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk wang tunai keseluruhan bernilai RM15,000