BIARPUN bergelar anak kepada seorang penyanyi terkenal, namun ia bukan alasan buat bakat baharu, Ahmad Zaki Yamani mengambil jalan pintas untuk dikenali ramai.

Bahkan pada awalnya, keputusannya untuk menyertai dunia seni juga tidak diketahui bapanya, Datuk Jamal Abdillah.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi, apatah lagi mengikut jejak baba (panggilan untuk Jamal) menyertai dunia seni.

“Bagaimanapun, dorongan orang sekeliling dan restu daripada ibu menjadi pemangkin semangat saya mengembangkan bakat.

“Baba juga terkejut sebaik mengetahui saya sudah mengeluarkan single tetapi dia menyokong pembabitan saya dalam dunia seni,” katanya kepada Sinarplus.

Tambah Zaki, walaupun masih bersekolah namun dia bertuah kerana ibunya, Fatimatuzahra Samat, 39, bijak menyusun jadualnya sebaik mungkin.

“Karier saya tidak mengganggu persekolahan setakat ini. Kalau ada undangan, hanya pada hari Sabtu dan Ahad.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan pula, saya terlibat dengan temu bual dalam talian atau panggilan telefon sahaja,” jelasnya.

Sebagai permulaan, Zaki, 14, mengambil langkah berani apabila mempertaruhkan lagu ciptaannya sendiri, Percayaku. Katanya, lagu yang dicipta sekadar suka-suka itu mempunyai signifikasi tersendiri dalam perjalanan hidupnya.

“Lagu ini ada kaitan dengan hidup saya iaitu apabila kita putus asa, kita harus naikkan semula semangat itu.

“Selain itu, melodinya yang catchy diharap dapat memikat hati pendengar,” ujarnya.

Idola

Ditanya mengenai siapakah penyanyi yang menjadi idolanya, Zaki berkata, dia mengagumi kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan Hael Husaini.

Katanya, penyanyi itu mengambil masa 10 tahun sebelum berjaya mencipta nama.

Iklan

“Saya kagum dengan perjalanan seni dan semangatnya untuk berjaya seperti sekarang. Walaupun dulu dia tidak dikenali, tapi sekarang dia antara komposer muda yang sangat popular.

“Saya ingin berjaya sepertinya. Saya juga menyimpan impian untuk menyanyikan lagu hasil ciptaan Hael Husaini suatu hari nanti,” katanya.

Projek istimewaSelain Zaki, abangnya, Osama Yamani, 19, turut sama terbabit dalam dunia seni.

Menurut Zaki, dia bersama Osama dan Jamal ada merancang untuk tampil dengan sebuah projek istimewa, namun belum dapat dipastikan bila akan terlaksana.

Iklan

“Kami merancang untuk tampil dengan sebuah lagu bersama, tapi masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.

“Apa yang saya harapkan ialah ia akan jadi kenyataan suatu hari nanti,” jelasnya.

 

(Oleh: Aqma Mustaza/Foto: Instagram Zaki Yamani)