SELEPAS meraih kejayaan cemerlang menerusi single Sesungguhnya 2019 pada Ramadan tahun lalu, penyanyi Alif Satar dan Raihan sekali lagi tampil berkolaboratif menerusi lagu Damba CintaMu yang baru sahaja dilancarkan pada Isnin.

Pemilihan lagu ciptaan sepenuhnya oleh anggota Raihan sendiri, Abu Bakar Md Yatim yang dibuat lebih setahun lalu itu diberi nafas baharu dengan sentuhan muzik yang berbeza dan bersesuaian dengan era kini.

Menurut Alif, dia memilih lagu tersebut kerana ia merupakan antara lagu kegemarannya semasa mendengar lagu-lagu Raihan, malah cukup memberi kesan keinsafan dalam mencari cintanya kepada tuhan.

“Lagu ini bukan pilihan sekarang tetapi sudah lama kerana bagi saya, berduet dengan Raihan merupakan suatu kebanggaan buat diri saya kerana menghormati Raihan sebagai lagenda muzik tanah air.

“Melodi lagu asal ini lebih kepada accapela, tetapi kali ini sususan lagu dan melodi dibuat dengan lebih segar dan moden kerana liriknya sahaja sudah cukup bermakna.

“Susunan lagu oleh ahli band saya sendiri iaitu The Locos, dibuat sedemikian untuk memberi lebih impak kepada pendengar. Penggunaan alat muzik sangat sesuai pada tempatnya dan secukup rasa tidak berlebihan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Alif, video Damba CintaMu tidak sempat dirakam kerana krisis Koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dan dunia, namun ia tampil dengan lirik video untuk tontonan di platform YouTube.

“Menariknya, lirik video kali ini seolah-olah ada berkaitan dengan apa yang kita sedang lalui sekarang.

“Istimewanya, kami ada menyediakan sarikata bahasa Inggeris bagi bait-bait lirik untuk memudahkan orang yang tidak memahami bahasa Melayu dalam lirik video ini.

“Tidak hanya itu, kami juga menggunakan khidmat seorang selebriti wanita terkenal dan sempat merakamnya terlebih dahulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan,” ujar Alif yang mahu memberi kejutan pada peminat.

Karya istimewa

Sementara itu, menurut Raihan, Damba CintaMu menceritakan tentang pengakuan secara terus terang seseorang hamba kepada kepada Tuhan yang Esa.

“Sebagai manusia biasa kita kadang-kadang buat baik, kadang kala kita tidak sengaja berbuat dosa, sedangkan kita tahu Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

“Rahmat dan pengampunan Allah itu maha luas. Jadi jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah. Kita tiada pilihan selain kembali kepada Allah yang Esa,” ujar Raihan.

Selaku komposer Damba CintaMu, Abu Bakar, meluahkan rasa syukur kerana lagu yang dicipta pada tahun 1997 itu kembali didengar pada tahun 2020.

“Saya sangat berterima kasih kepada Alif dan sahabat-sahabat Raihan yang memilih lagu ini untuk dirakamkan kembali.

Iklan

“Cuma saya agak sedih kerana seminggu sebelum lagu ini dirakamkan, ibu saya kembali ke rahmatullah.

“Jadi jika ada kebaikan, jika ada yang mendapat hidayah dan jika ada yang memeluk Islam setelah mendengar lagu ini, saya hadiahkan semua semua pahala yang ada pada arwah ibu saya, Hajah Raden Ramlah Raden Haji Ali,” luahnya.

Manakala Che Amran pula menyifatkan lagu tersebut sebagai sebuah karya yang sangat istimewa kerana ia mempunyai lirik yang sangat mendalam.

“Terima kasih kepada Alif yang meminati dengan lagu-lagu dendangan Raihan dan memilih Damba CintaMu sebagai single kedua kami bersama dan tidak menunggu lama untuk membuat pilihan lagu.

“Apa yang kami harapkan agar lagu ini dapat diterima oleh generasi kini. Semoga ia  menerima kejayaan yang memberangsangkan seperti lagu Sesungguhnya 2019 atau mungkin lebih daripada itu.

Iklan

“Sebenarnya lagu ini sangat sesuai dengan keadaan sekarang di mana kita dikenakan PKP. Kami juga berharap lagu ini dijadikan pilihan pendengar sepanjang Ramadan dan juga sampai bila-bila,” katanya.

Damba CintaMu merupakan karya terbitan pertama Aset Records (Alif Satar Entertainement Records) milik Alif sendiri yang bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sebagai pengedar di platform digital dan promosi.

Single duet terbaharu itu kini berada di semua platform digital bermula 4 Ramadan (semalam). Manakala lirik video juga dilancarkan secara serentak pada tarikh yang sama di saluran YouTube.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)