GIGI yang sihat dan cantik menjadikan senyuman seseorang itu nampak sempurna. Siapa yang tidak mengimpikan gigi yang putih bersih bukan? Apabila gigi berwarna kuning, hendak senyum pun terasa malu. Tentunya situasi ini mengundang rasa tidak selesa terutama ketika berdepan dengan orang ramai.

Tidak dapat dinafikan, gigi yang tersusun rapi dan putih menjadikan penampilan seseorang nampak bergaya. Namun adakah ia dapat diperoleh hanya dengan memakai ubat gigi yang bersumberkan arang? Berikut perkongsian fakta daripada doktor pergigian Klinik Pergigian Azila, Dr Azila Mohd Kassim.

Baca juga: Ganti ubat gigi dengan baking soda, beri risiko rosak enamel pada gigi

Kredit foto: Pexels

Menurut Dr Azila, jangan sesekali percaya dengan iklan ubat gigi bersumberkan arang yang kononnya boleh memutihkan gigi. Bahan ini juga tidak akan menghilangkan tartar atau karang gigi.

 

APAKAH FUNGSI ARANG?

Arang dipercayai mempunyai mekanisme seperti magnet untuk menarik serta memerangkap kotoran pada gigi. Apabila seseorang itu berkumur, secara teorinya kotoran terbabit akan keluar bersama. Tiada bahan aktif putihkan gigi. Gigi hanya boleh nampak lebih bersih, tetapi tidak boleh putih seperti didakwa kerana serbuk arang tidak mempunyai apa-apa bahan aktif yang boleh membantu memutihkan gigi.

Molekul serbuk arang sangat kasar dan bersifat menghakis. Kajian menunjukkan, penggunaan seawal empat kali sudah boleh menipiskan enamel gigi, sedangkan lapisan itu penting untuk melindungi dentin, selain lapisan ketiga iaitu pulpa selaku pusat saraf gigi.

Lapisan dentin secara asalnya lebih kuning berbanding enamel. Enamel yang menipis tidak akan terbentuk semula dan dentin yang kuning akan berterusan terdedah. Keadaan ini akan menyebabkan dentin mula menyerap warna kelabu daripada serbuk arang menyebabkan gigi bukan sahaja tidak putih malah menjadi kelabu kekuningan.

Baca juga: Tiada kajian kukuh dapat buktikan produk berasaskan arang boleh putihkan gigi, sebaliknya…

Kredit foto: Pexels

Anda boleh menggunakan apa sahaja yang dirasakan sesuai untuk menggosok gigi, tapi perlulah mengikut cara yang betul dan waktu yang bersesuaian. Selain itu, pastikan bahan yang digunakan dalam produk tersebut selamat dan tidak berbahaya.

Rawatan pemutihan atau ‘teeth whitening’ yang sebenar adalah apabila doktor gigi menggunakan bahan carbamide peroxide atau hydrogen peroxide. Hanya kepekatan 35 peratus hydrogen peroxide boleh memutihkan gigi. Bagaimanapun hasilnya bergantung pada individu dan perlu diselenggarakan oleh doktor gigi bertauliah. Bahan-bahan ini berkemungkinan besar boleh mencederakan gusi sekiranya disalahgunakan.

Sedikit sahaja hydrogen peroxide terkena gusi akan menyebabkan gusi melepuh, terhakis dan menyebabkan ulser. Jangan sembarangan menggunakan kaedah pemutihan gigi tanpa konsultasi daripada doktor gigi bertauliah.

Baca juga: Apabila si kecil mengadu sakit gigi, ini perkara yang ibu bapa dilarang buat

BAHAN MITOS PUTIHKAN GIGI

Serbuk arang, baking soda dan lemon adalah mitos untuk memutihkan gigi. Di antara kesan buruk pembeli yang pernah mencuba ubat gigi activated charcoal (AC) ini ialah gigi bertambah haus dan sensitif.

Produk yang mengandungi arang atau ubat gigi pemutih ini boleh menghakiskan gigi dengan cepat jika tidak digunakan dengan cara yang betul dan tersalah pilih produk.

Sebenarnya serbuk arang dicampur gaulkan dengan beberapa ramuan dan hasil campuran akan diproses di bawah suhu yang tinggi. Kesannya arang yang terhasil akan menjadikannya lebih halus daripada arang biasa. Maka apabila digosok pada gigi, kesannya gigi menjadi kelihatan putih.

AC tidak memutihkan gigi secara langsung sebaliknya hanya membuang kotoran luaran dan menyebabkan gigi sensitif dan enamel menipis. Bahan ini juga tidak menghilangkan tartar atau karang gigi.

Perlu difahami bahawa warna natural gigi memang agak sedikit kuning. Keadaan ini disebabkan lapisan paling luar gigi (enamel) nipis dan lut sinar. Gigi sebenarnya menampakkan lapisan dalam (dentin) yang berwarna kuning.

Kebiasaannya doktor gigi tidak memandang pelik pada mereka yang memiliki gigi sedikit kuning sebab memang itu warna asli gigi.

Kredit foto: Pexels

TIP MEMUTIHKAN GIGI YANG BETUL

1. Beruslah gigi dua kali sehari selama dua minit.

2. Gunakan ‘floss’ gigi sekurang-kurangnya satu kali sehari.

Iklan

3. Elakkan minuman yang menyebabkan kesan kotoran (stain) pada gigi seperti kopi dan teh.

4. Jangan merokok, shisha, vape dan pengambilan tembakau.

5. Lakukan pemeriksaan gigi berkala di klinik pergigian.

6. Lakukan rawatan pemutihan gigi di klinik pergigian berdaftar.

Baca juga: Anak geser gigi semasa tidur bukan petanda tidak baik, rupanya disebabkan tiga faktor ini

Iklan

Sumber: Dr Azila Mohd Kassim (Klinik Pergigian Azila, Bangi)

Kredit foto utama: Freepik, Pexels, FB Dr Azila

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi