SUAMI adalah insan yang diharapkan untuk melindungi dan menyayangi isteri serta anak-anak. Namun sejak kebelakangan ini, kita banyak mendengar kisah pilu kaum Hawa yang dianiaya selepas suami bertemu dengan wanita lain.

Terbaharu, satu perkongsian di laman Facebook oleh Abu Hamizan mengundang kesedihan dan pilu.

Gara-gara sikap si suami yang tidak bertanggungjawab, seorang wanita terpaksa keluar daripada rumah dan mencari perlindungan di sebuah masjid. kisah tersebut dikatakan berlaku di Kemaman, Terengganu.

Baca juga: Suami ditangkap khalwat, adakah isteri perlu minta cerai? Ini jawapan Dr Zulkifli Al-Bakri

Baca juga: Rezeki suami berpoligami, isteri pinang sahabat baik jadi madu, warga maya doakan kebahagiaan

“Selesai solat tarawih dan tadarus malam tadi, di satu sudut masjid, saya terpandang seorang wanita dan dua orang anaknya yang masih kecil. Ketika itu hanya ada beberapa orang sahaja jemaah lelaki yang datang ke masjid untuk qiamulail.

“Kemudian wanita itu datang dan menyapa, “Ustaz, boleh tak saya nak minta izin untuk menumpang tidur di sini (masjid) untuk malam ni sahaja?”

“Waktu itu, jam sudah hampir pukul 12 tengah malam. Dengan anak-anak yang masih kecil dan hanya ada sehelai selimut sahaja,” kongsinya bersimpati dengan nasib wanita berkenaan.

Melihatkan keadaan sukar wanita berkenaan bersama anak-anaknya yang masih kecil, beliau bertanya lanjut. Namun ternyata jawapannya meluluhkan hati.

Baca juga: Viral isteri pertama tabah hadir persandingan suami, wanita bahagia berkongsi kasih dengan sahabat baik

“Untuk kepastian saya bertanya mereka dari mana dan kenapa nak tidur di masjid? Anak-anak ini, ayahnya di mana?

“Jawapannya membuatkan saya terdiam seketika. Kata si ibu, beliau baru sahaja dihalau daripada rumah sewa. Si suami pula selepas kahwin baharu, langsung tak ambil kisah pasal keluarga, Subhanallah,” kongsinya.

Sebagai seorang muslim yang dituntut supaya mengasihi muslim yang lain, Abu Hamizan berasa terpanggil untuk membantu wanita malang itu.

Selain hilang tempat berteduh, rupanya wanita itu bermusafir tiga beranak tanpa wang sesen pun.

“Wanita itu tiada tempat untuk meminta pertolongan memandangkan ahli keluarganya tinggal di Selangor.

“Kemudian saya bertanya, kalau esok sudah siang kakak hendak tuju ke mana? Kakak ada duit untuk beli makanan kepada anak-anak ni? “Tak ada duit ustaz,” jawabnya dalam keadaan malu.

Baca juga: Tular 9.5 juta view, jadi isteri ketiga ketika isteri kedua hamil 6 bulan, wanita tersenyum bergambar mesra dengan madu

Baca juga: Andaian ramai perkahwinan orang zaman dahulu bertahan & bahagia  

Allahuakbar, pada larut malam begitu agaknya ibu mana yang sanggup bawa anak-anak kecil keluar tidur merata-rata. Bagaimana jika si kecil itu tidur dalam keadaan lapar sedang saya mengetahui akan hal itu, adakah saya akan berdosa?,” titip Abu Hamizan bungkam.

Simpati melihat keadaan keluarga tersebut, beliau menghulurkan bantuan. Menurutnya wanita berkenaan meminta izin untuk menggunakan sedikit daripada wang sumbangan untuk membeli tiket bas manakala bakinya untuk makan.

“Syukurlah kalian yang masih ada tempat tidur, ada duit untuk berbelanja dan mampu tersenyum dengan segala macam nikmat yang ALLAH kurniakan.

“Doa saya semoga ALLAH membukakan jalan keluar untuk kakak itu dan anak-anaknya daripada masalah pada saat ini.

“Untuk lelaki yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah, ingat lah! Tidak lambat dan tidak cepat balasan ALLAH itu ada,” tulisnya.

Warga maya yang menghubungi Abu Hamizan untuk memberikan pertolongan namun difahamkan wanita berkenaan dan anak-anaknya sudahpun beredar.

Gambar hiasan

“Terima kasih kepada yang sudi hulur bantuan. Ada yang DM pelawa untuk tumpangkan kakak ini di homestay dan meminta nombor akaun membantu meringankan bebannya.

“Sebelum itu saya minta maaf kerana sejak tengah hari saya tidak langsung melihat wanita itu dan anak-anaknya di sekitar masjid.

“Saya ada juga meminta nombor telefonnya tetapi diberitahu telefonnya rosak. Saya tidak tahu di mana keberadaan kakak ini dan anak-anaknya. Wallahualam,” kongsinya.

Perkongsian itu membuka mata warga maya tentang kesan buruk kegagalan seorang lelaki menjalankan tanggungjawab.

Dalam pada itu, netizen juga mendoakan agar wanita itu selamat dan menemui kebahagiaan bersama anak-anaknya.

– ” Moga beliau sampai ke tempat yang hendak dituju dan ALLAH permudahkan urusannya.”

– “Dalam bulan Ramadan tergamaknya seorang suami buat begitu, tuan rumah pun tiada belas kasihan langsung. Anak-anak masih kecil lagi.”

– “Pada saat kita susah masih ada insan yang lebih susah, ALLAH sebenarnya sedang menguji kita.”

– “Setiap orang ujian tidak sama tapi yakinlah ALLAH ada bersama. Pasti ada insan yang ALLAH titipkan buat kita saat sukar itu. Allahu, semoga awak kuat dan selamat bersama anak-anak. Insya-ALLAH selepas ini pasti akan baik sahaja.

Iklan

– “ALLAH bukan sahaja sedang menguji kakak ini tetapi juga sedang menguji kita. Rupanya ada insan yang keluarganya tiada. Tempat berteduh pun entah di mana. Moga dipermudahkan urusan.”

Tidak kurang juga yang mencemuh sikap lelaki yang tidak bertanggungjawab selepas berpoligami.

– “Alhamdulillah ALLAH lorongkan hati ibu ini berteduh di masjid. Semoga dipermudahkan urusan ibu ini dan anaknya. Semoga ALLAH berikan balasan yang setimpal suami yang menganiaya isteri.

– “Kahwin baru boleh tetapi susah berlaku baik kepada isteri dan anak-anak. Lelaki qawwam itu ‘rare’.

– “Tanggungjawab memberi ilmu kepada kaum adam bergelar suami atau mantan suami adalah para cendiakawan muslim bergelar ustaz dan bapa. Jika para ustaz dan bapa gagal melakukan, maka ibu wajib mendidik anak lelaki mengenai hak wanita sebelum dan sesudah menikah, iddah dan bayaran mutaah kepada bekas isteri selepas di ceraikan. Khuatir di akhirat nanti bekas menantu dan anak-anak seperti dalam foto menuntut kegagalan para ibu mengingatkan anak lelaki akan tanggungjawab mereka.”

Untuk info, poligami terdiri daripada tiga hukum iaitu makruh, sunat dan haram.

Kredit foto: Pixabay

Poligami makruh apabila berpoligami dilakukan hanya sekadar untuk berseronok- seronok sedangkan suami sendiri ragu akan kemampuan dirinya untuk berlaku adil terhadap isteri- isteri daripada sudut nafkah zahir dan batin. Ini kerana poligami itu bukan kerana keperluan dan boleh jadi kesan daripada perkahwinan itu akan memberikan kemudaratan kepada isteri-isterinya disebabkan kerana tidak mampu berlaku adil terhadap mereka.

Poligami sunat hukumnya apabila suami memerlukan isteri yang lain misalnya bagi mendapatkan zuriat kerana isteri yang pertama tidak boleh melahirkan anak atau sakit atau suami mempunyai keinginan yang amat kuat sehingga isteri seorang tidak mampu untuk melayaninya. Suami juga berkeyakinan, mampu berlaku adil terhadap isteri- isteri zahir dan batin. Maka ketika ini tiada halangan baginya untuk berpoligami kerana mempunyai kebaikan dan maslahat syarak.

Poligami menjadi haram jika lelaki ingin berpoligami merasa ‘zhan’ atau yakin tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Boleh jadi kerana kemiskinan, kelemahannya atau dia tidak yakin dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudis. Hukum poligami pada ketika ini ialah haram kerana ia akan memberi kemudaratan kepada orang lain.

Berikut adalah tanggungjawab suami dalam perkahwinan poligami:

Iklan
  1. Membatasi jumlah isteri yang akan dikahwininya.

2. Diharamkan bagi suami mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada tali persaudaraan menjadi isterinya.

3. Disyaratkan pula berlaku adil terhadap dirinya sendiri dan para isteri.

4. Adil memberikan nafkah zahir ( makan minum, pakaian, tempat tinggal termasuk alat solek, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain keperluan) dan nafkah batin

5. Adil dalam giliran.

6. Keadilan dalam memberikan kasih sayang.

7. Memberi perlindungan, pemeliharaan dan kasih sayang yang adil terhadap anak-anak iaitu tidak menimbulkan huru-hara atau masalah (dharar syarie) dalam kalangan isteri mahupun anak-anak dan berkuasa menanggung nafkah.

Manakala isteri dalam poligami berhak memiliki kediaman sendiri dan mendapat hak giliran yang sama.

Sumber: Facebook Abu Hamizan, JAIS

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!