BAGAI bulan jatuh ke riba. Begitulah yang boleh menggambarkan perasaan kumpulan Soda apabila memenangi pencarian pelawak menerusi program Awesome Raja Lawak (ARL) musim pertama pada Rabu lalu.

Kumpulan Soda yang dianggotai Danny dan Sofwan, mengakui tidak pernah terjangka untuk berada selama 10 minggu dalam program berkenaan, apatah lagi untuk menjadi juara.

“Sejujurnya kami tidak jangka dapat pergi sejauh ini. Dapat masuk ke peringkat final pun sudah buat kami tidak percaya, apatah lagi muncul juara.

“Apabila diangkat sebagai juara musim pertama, kami anggap ia sebagai bonus. Insya-ALLAH, selepas ini kami akan cuba meneroka bidang seni, terutama bidang komedi dengan lebih serius,” ujar Sofwan.

Kumpulan Soda bersama barisan juri Awesome Raja Lawak.

Tambahnya, mereka berdua akan menjadikan kemenangan itu sebagai satu amanah dan memegang pesanan juri program ARL, Saiful Apek, untuk meneruskan legasi sebagai penghibur di Malaysia.

“Kemenangan ini kami jadikan seperti satu amanah untuk terus berkarya dan jadi penghibur terbaik di Malaysia.

“Insya-ALLAH kami akan cuba ikut pesanan abang Apek yang mahu kami meneruskan legasi pelawak tanah air dengan persembahan yang bermutu.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan meletakkan kepercayaan kepada bakat yang kami ada,” katanya.

Kumpulan Soda tampil menyerlah pada persembahan segmen pertama dan kedua.

Pada persembahan minggu akhir yang berlangsung di De Showroom Studio itu, Kumpulan Soda yang mendapat markah tertinggi sebanyak 77 peratus membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000.

Naib juara pula menjadi milik kumpulan Se’eh yang menerima trofi dan wang tunai RM25,000, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Mabo yang meraih RM15,000 dan trofi.

Tempat keempat diraih peserta solo, Azhar, manakala kumpulan Sedare mengakhiri perjuangan pada tempat kelima dan Manja (keenam).

Terdahulu, kumpulan Mabo menjadi peserta bertuah apabila diserap masuk semula secara ‘wild card’ untuk berentap di gelanggang akhir bersama lima peserta lain termasuk kumpulan Sedare, Manja dan Azhar.

Barisan finalis Awesome Raja Lawak.

Pada gelanggang akhir ARL yang bertemakan persembahan Bebas dan Muzikal itu, enam finalis diadili tiga juri profesional iaitu pelawak otai, Saiful Apek; pelakon, Khir Rahman; dan penyanyi, Ayda Jebat.

Ia dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md. Nasir Ibrahim dan isteri.

Persembahan akhir ARL turut dihadiri alumni Raja Lawak seperti Tauke Jambu, Atu Zero, Ajak Shiro, Issey dan Ammar Titan.

Dalam pada itu, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, susulan daripada kejayaan program Awesome Raja Lawak, pihaknya turut teruja untuk membawakan sebuah lagi program realiti terbaharu terbitan Awesome TV, Mic On Selebriti bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Program berkonsepkan pertandingan nyanyian itu akan menyaksikan penglibatan barisan selebriti seperti pelakon, pelawak mahupun ‘influencer’ mempertaruhkan bakat nyanyian mereka demi merebut hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM250,000. Nantikan pengumuman selanjutnya dari kami tidak lama lagi.

“Teruskan menonton variasi program-program hebat Awesome TV di saluran Astro (123) dan MyTV (112),” katanya.