BIARPUN beberapa kali berdepan pelbagai cabaran sepanjang cuba menempatkan diri dalam bidang seni, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat bintang baharu, Arm Yunus untuk terus berkongsi bakatnya.

Bekas peserta program I Can See Your Voice Malaysia (ICYVM) musim kedua itu pernah tampil dengan debut single pada tahun 2009, sebelum menyepikan diri seketika untuk memberi fokus kepada kerjaya lain.

Selepas hampir 10 tahun, Arm atau nama sebenarnya Muhammad Syamsul Idzham Mohd Yunus, 32, kembali dengan semangat baharu menerusi penghasilan single keduanya, Bertemu.

“Selepas tampil dengan single pertama pada 2009, saya berehat seketika untuk fokus kepada kerjaya dalam bidang yang dipelajari ketika di universiti.

“Sepanjang tempoh itu, saya ada juga mencuba pergi uji bakat dalam beberapa program realiti, termasuk program ICYVM pada tahun lalu, di mana saya terpilih sampai ke peringkat akhir Top 4.

“Sejak itu juga saya nampak bakat mendapat sambutan orang ramai dari segi peningkatan pengikut di Instagram dan komen positif diberikan.

“Saya berasakan ini masa terbaik untuk tampil dengan single terbaharu. Tekad saya untuk fokus dan cuba memberi peluang pada diri saya untuk masuk kembali dalam industri seni,” katanya yang kini bertugas sebagai juru X-tray di sebuah pusat perubatan.

Bercerita lebih lanjut, kata Arm, karya ciptaan Alfie Alwi dan lirik oleh Shah Shamshiri itu diibaratkan satu perjudian nasib untuknya terus kekal dalam bidang muzik.

“Penghasilan single ini bermula apabila saya berjumpa komposer pada Januari lalu. Sebulan selepas itu, kami mulakan proses rakaman dan kemudiannya berbincang tentang penghasilan video muzik.

“Ikut perancangan asal, nak keluarkan lebih awal, tapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tertangguh sehingga dilancarkan pada 22 Mei lalu.

“Sebelum ini saya ada jumpa beberapa komposer untuk cari lagu, tapi akhirnya memilih lagu ciptaan sahabat baik saya, Alfie Alwi yang saya rasakan sesuai dengan jiwa saya,” katanya.

Menariknya, single edaran Universal Music ini dihasilkan dengan menggunakan kos yang yang dikeluarkan oleh Arm sendiri.

Iklan

“Mungkin kerana minat terhadap nyanyian semakin tinggi selepas menyertai ICYVM, saya tidak kisah untuk keluarkan bajet sendiri demi single baharu.

“Bagi saya, inilah peluang untuk mencuba sekali lagi. Jadi atau tak, belakang kira. Apa yang penting saya puas hati kerana ia hasil titik peluh sendiri.

“Kalau nak tunggu tawaran syarikat rakaman, mungkin tempoh menunggu akan buat peluang saya semakin rendah. Di luar sana ada ramai lagi bakat baharu yang mahu mencuba nasib.

Iklan

“Harapan saya semoga single ini berjaya dan dapat sambutan. Semoga ia dapat menjadi titik mula untuk saya menapak semula dalam industri seni untuk mengetengahkan bakat nyanyian saya,” ujarnya.

Lagu Bertemu boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan Deezer. Sementara video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)