SETELAH menyepikan diri seketika dari dunia seni, penyanyi Najwa Latiff kembali tampil dengan cerita baharu yang dikongsi menerusi single Tak Kisah Pun.

Najwa yang mula dikenali ramai menerusi lagu Cinta Muka Buku itu mengakui terpaksa memperlahankan kerjaya seninya sebelum ini kerana sibuk belajar.

Kali terakhir penyanyi itu mengeluarkan single adalah sekitar Ogos tahun lalu menerusi lagu berjudul Kau Lupa Itu Aku.

Kini selepas berjaya melengkapkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya, pada Oktober tahun lalu, dia tekad untuk tampil dengan karya baharu

“Rasa lega apabila impian belajar ke peringkat sarjana tercapai. Alhamdulillah, saya berjaya menyudahkannya,” ujar Najwa.

Mengulas tentang single Tak Kisah Pun, Najwa yang juga aktif sebagai komposer itu berkata, pada awalnya dia merancang untuk mengeluarkan sebuah single baharu pada Januari lalu.

Namun disebabkan penularan Covid-19, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Tanpa dirancang, sekitar Mac lalu ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mendapat idea menghasilkan lagu Tak Kisah Pun.

“Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP dan PKPB ini.

“Sebenarnya versi akustik lagu ini sudah dimuat naik di saluran YouTube. Disebabkan ramai yang suka dan memberikan respon positif, saya buat keputusan untuk merakamkannya,” katanya.

Najwa percaya bakat Akwa Ariffin

Untuk memberi sedikit kelainan, Najwa menampilkan penyanyi rap baharu, Akwa Arifin yang diakui berbakat besar.

“Saya meminati karya Akwa di YouTube dan bermula dari situ, saya dapat idea untuk tampil berkolaboratif dengannya,” kata Najwa.

Iklan

Single Tak Kisah Pun merupakan hasil ciptaan oleh Najwa dan adik beradiknya yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee. Manakala liriknya pula dihasilkan bersama Akwa.

Bercerita lebih lanjut tentang lagu itu, kata penyanyi kelahiran Johor Bahru itu, ia dikatakan berkisar mengenai menerima seseorang itu seadanya.

“Saya teruja dengan penghasilan single terbaharu ini, apatah lagi ia merupakan produk sulung dari syarikat rakaman saya sendiri, NL Entertainment.

Dalam perkembangan lain, kata Najwa, dia kini sibuk dengan kerjaya tetapnya sebagai pensyarah subjek bahasa Inggeris di Unitar International University.

Iklan

“Sudah lebih dua tahun saya mengajar. Jujurnya, saya gembira dengan apa yang diusahakan sekarang ini,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan tudung jenamanya sendiri, Najwal.

Muzik Video Tak Kisah Pun yang dilancarkan pada 19 Jun lalu, kini trending di YouTube dan meraih lebih 500 ribu jumlah tontonan dalam tempoh seminggu.

 

(FOTO: Instagram Najwa Latif)